Kerajaan Negeri Selangor perlu lebih serius menangani masalah banjir yang kerap berlaku di negeri itu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sikap sambil lewa bukan sahaja menyebabkan kerajaan menanggung kerugian, malah rakyat turut terbeban.
“Sekiranya semua pihak masih lagi tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban.
“Beta ingin menasihatkan Kerajaan Negeri agar memberi penekanan yang lebih serius terhadap usaha-usaha menangani masalah banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku di negeri ini.
“Ini termasuk menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang yang merangkumi kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai, memastikan sistem perparitan yang baik dan terurus, serta membina kunci air (floodgate) di lokasi-lokasi penting yang mengambil kira kadar taburan hujan dan jadual pasang surut air laut,” titah Baginda.
Baginda menegaskan pihak terlibat dalam kegiatan pencemaran sungai sehingga menjadi punca utama berlaku bencana banjir perlu dikenakan tindakan undang-undang.
“Beta tegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang merupakan salah satu cara yang paling berkesan untuk memberi pengajaran kepada rakyat supaya tidak melakukan pencemaran dan pencerobohan tanah di tepi-tepi sungai di negeri ini.
“Beta mengharapkan Kerajaan Negeri dapat mengukuhkan lagi tindakan penguatkuasaan khususnya terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan pencemaran sungai yang menjadi punca utama kepada berlakunya bencana banjir,” titah baginda.
Tuanku juga menyeru rakyat terus memainkan peranan masing-masing untuk memastikan sistem perparitan dan sungai di penempatan, tidak tersumbat dan sentiasa bersih serta berada dalam keadaan baik.