Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Negeri perlu sedia tapak tanah projek balai bomba

FOTO: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri perlu menyediakan tapak tanah yang bersesuaian bagi tujuan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya memberitahu, tapak tanah itu perlu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan projek BBP.

“Faktor ini akan diambil kira selain daripada skor kajian ‘fire cover’ yang dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, KPKT berkata, bagi tahun ini, pihaknya akan memberi tumpuan dan keutamaan kepada pembinaan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan penyediaan tapak tanah secara percuma atau dengan kadar premium nominal oleh Kerajaan Negeri.

KPKT juga akan memastikan aspek komersial turut diambil kira supaya perumahan yang dibangunkan adalah memenuhi ciri-ciri kondusif dan berdaya huni dengan mengutamakan lima elemen iaitu kebolehcapaian (accessibility), kebolehdiaman (liveability), ketersambungan (connectivity), kemampanan (sustainability) dan komuniti yang baik (good community).

Mengulas lanjut, KPKT akan mempertimbang pelaksanaan kajian berdasarkan pulangan pelaburan (return of investment), analisis kos faedah (cost benefit analysis), indeks kesahan dan kebolehpercayaan (credibility realibility index) dan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) untuk pelaksanaan projek baharu.

Dapatan kajian itu akan memberi fokus yang jelas dan nyata serta menghindarkan ketirisan perbelanjaan bagi mencapai mutu tertinggi dan kesejahteraan rakyat.

“KPKT terus komited menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti dan perkhidmatan kebombaan yang responsif dan efektif,” kata kenyataan itu.

Loading...
Terkini