Tumpuan :
Nasional

Kerajaan negeri dibenar teroka REE – Nik Nazmi

Foto: Nik Nazmi/ Facebook

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri kini dibenar melaksanakan eksplorasi awal unsur nadir bumi (REE), berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, perkara itu diputuskan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM), dipengerusikan beliau, Isnin lalu.

“Jawatankuasa ini juga akan melihat keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral, contohnya bagi tujuan pengekstrakan REE.

“Bagi menyahut ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan negeri dibenarkan melaksanakan eksplorasi awal REE berdasarkan SOP NR-REE (REE tanpa radioaktif) dan dasar mineral sedia ada,” katanya dalam kenyataan Facebook.

Mesyuarat semalam turut dihadiri beberapa menteri besar dan exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas portfolio mineral di negeri masing-masing.

Foto: Nik Nazmi/ Facebook

Nik Nazmi berkata, mesyuarat itu bertujuan menyelaraskan isu pengurusan mineral antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Mesyuarat itu adalah forum bagi melihat dan memperincikan isu industri mineral negara dan JKPPIM membantu mempercepatkan proses pembuatan keputusan berkaitan industri mineral, di samping menggalakkan kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pengurusan isu mineral,” katanya.

Loading...
Terkini