comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Negeri Akan Pastikan Peluang Pekerjaan Untuk Anak Muda

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan Majlis Menandatangani MoU di UTHM. – Foto: Facebook UTHM.

BATU PAHAT: Selaras dengan sasaran menjadi negeri maju menjelang tahun 2030, kerajaan negeri akan terus memastikan peluang pekerjaan kepada golongan ‘anak muda’ sentiasa ada di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia sekali gus akan mengurangkan kebergantungan golongan berkenaan termasuk para graduan yang terpaksa berhijrah keluar untuk mencari rezeki.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak swasta untuk mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk teknologi.

“Perkara yang paling merisaukan kami (kerajaan negeri) untuk mencapai negeri maju adalah tenaga kerja berkemahiran di mana kita akan buang kelompongan berkenaan.

“Anak muda jangan kemana-mana lagi dah lepas ni, duduk sahaja di Johor kerana peluang kerja akan kami wujudkan. Sama-samalah kita kerajaan, pihak swasta dan anak muda serta semua pihak untuk memajukan Johor,” katanya dalam ucapannya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-30 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Makmal Kecerdasan Buatan Kebangsaan (Makmal AI) di UTHM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Hadir sama adalah Naib Canselor UTHM Prof Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Sementara itu, berkenaan dengan Makmal AI, ia adalah kerjasama antara UTHM, UTM, Huawei dan TM bagi menggalakkan pembangunan bakat digital universiti di Malaysia.

Sementara itu Ruzairi berkata pihaknya berbangga apabila UTHM dan UTM dipilih untuk menerajui penubuhan Makmal AI bagi universiti awam di negara ini dengan mendigitalkan operasi kedua-dua universiti.

“Di UTHM khususnya dengan adanya Makmal AI ini kelak, sesi pengajaran dan pembelajaran serta pentadbiran universiti ini akan dapat dilaksanakan secara digital sepenuhnya, di mana sekarang ini dilaksanakan secara hibrid (gabungan digital dan manual),” kata beliau. – BERNAMA

Loading...
Terkini