Tumpuan :
Nasional

Kerajaan nafi RCI Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan nak cari salah sesiapa

Batu Puteh yang menjadi pertikaian lebih tiga dekad antara Malaysia dan Singapura. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan semata-mata untuk mencari kesalahan pihak tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebaliknya ia ditubuhkan untuk mencari kaedah penyelesaian serta penambahbaikan mengenai sebarang isu membabitkan kedaulatan negara.

Beliau berkata, RCI berkenaan antara lain berperanan sebagai misi pencarian fakta bagi pihak Yang di-Pertuan Agong untuk membolehkan siasatan lanjut yang terperinci secara bebas, telus dan profesional dilakukan.

“Ini kerana, laporan Pasukan Petugas Khas (PPK) Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan memaklumkan terdapat segelintir pihak enggan bekerjasama atas sebab peribadi dan profesional.

“Keadaan itu menyebabkan PPK terbabit tidak berupaya mengesahkan fakta serta menjalankan siasatan secara efektif dan menyeluruh kerana tidak memiliki kuasa yang jelas dalam mana-mana perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan penubuhan RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Kamar Khas dekat Dewan Rakyat, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini