Tumpuan :
Nasional

Kerajaan mula laksana Pusingan Kerja Petugas Kaunter hari ini

 

Foto hiasan

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kerajaan memulakan pelaksanaan Pusingan Kerja Petugas Kaunter mulai hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menegaskan langkah itu sejajar dengan matlamat reformasi perkhidmatan awam untuk mewujudkan sistem kerja yang lebih dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat.

“Bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di kaunter, Kerajaan telah melaksanakan inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter melibatkan semua Kementerian termasuk jabatan-jabatan di bawah kementerian masing-masing bermula hari ini.

“Pelaksanaan pusingan kerja ini melibatkan semua kementerian utama termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, serta beberapa kementerian lain yang terlibat secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran petugas kaunter, memastikan kepelbagaian kemahiran kerja, serta memperkasa pengalaman pelanggan dengan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra.

“Melalui pusingan kerja ini, petugas kaunter akan diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek tugas di kaunter, membolehkan mereka menangani pelbagai pertanyaan dan urusan pelanggan dengan lebih efisien.

“Mereka akan diberikan latihan berkala dan pemantauan berterusan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga yakin bahawa dengan pelaksanaan Pusingan Kerja Petugas Kaunter, perkhidmatan awam negara akan terus diperkukuh dan mampu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini