AYER KEROH: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) diharap menyertai Kerajaan Perpaduan yang baharu ditubuhkan di Melaka sebelum Enakmen Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, jika kedua-dua ADUN berkenaan bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan di Melaka, ia bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama ‘sifar’ pembangkang.
“Saya berharap daripada 28 kerusi di dalam DUN, kita dah ada lebih 26 kerusi ADUN kerajaan. Kita (Barisan Nasional) menang 21 kerusi, lima daripada blok Pakatan Harapan (PH) iaitu empat DAP, satu Amanah (Parti Amanah Negara).
“Jadi saya berharap dua ADUN daripada PN berkenaan, kalau ada hasrat untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, kita sudi menerimanya. Saya adalah orang yang paling gembira kerana Melaka bakal muncul negeri pertama ‘zero’ (sifar) pembangkang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO pertama malam tadi.
Sementara itu, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Timbalan EXCO negeri bagi memantapkan struktur organisasi pentadbiran baharu di bawah Ab Rauf.
Mengumumkan lantikan itu, Ab Rauf berharap semua ADUN yang dilantik dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang bagi memastikan Melaka dibangunkan mengikut acuan kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada semua EXCO dan Timbalan EXCO yang dilantik. Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua wakil rakyat yang berada dalam Kerajaan Perpaduan akan dapat memainkan peranan menyumbang untuk membangunkan Melaka bersama-sama dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh saya,” katanya.
Komposisi barisan Timbalan Exco terdiri daripada dua ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) dan lapan ADUN daripada Barisan Nasional (BN). Daripada jumlah itu, lapan adalah muka baharu manakala dua lagi adalah bekas EXCO kerajaan negeri sebelum ini.
ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET yang dipengerusikan Rauf manakala ADUN Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin sebagai Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.
ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (Timbalan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan); ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong (Timbalan EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan); ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital);
ADUN Banda Hilir, Leng Chau Yen (Timbalan EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti); ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis (Timbalan EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan); ADUN Durian Tunggal, Zahari Abd Khalil (Timbalan EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan); ADUN Kuala Linggi, Rosli Abdullah (Timbalan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama) dan ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi (Timbalan EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna).
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, semua Timbalan EXCO yang dilantik itu bakal menerima beberapa kemudahan termasuk kenderaan rasmi dan pemandu.
“Terdapat satu portfolio yang masih belum mempunyai timbalan iaitu Belia, Sukan dan NGO kerana masih belum diputuskan berikutan beberapa ADUN belum menyatakan persetujuan mengenainya,” katanya.