Tumpuan :
Nasional

Kerajaan lulus RM1 bilion pacu produktiviti tanaman padi

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan produktiviti tanaman padi serta memastikan kelangsungan dasar agromakanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan dijangka dilancarkan hujung Februari ini.

“Penambahan RM1 bilion itu supaya boleh menjamin penambahan produktiviti sekurang-kurangnya daripada 50 hingga 60 peratus keperluan tempatan ke 70 peratus,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee, mengenai sama ada kerajaan bercadang mengkaji semula dasar sedia ada yang menetapkan pengeluaran 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar bagi memastikan industri padi kekal mampan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan bahawa usaha meningkatkan produktiviti penanaman padi tidak hanya tertumpu di Semenanjung, sebaliknya Sabah dan Sarawak turut diberi perhatian dengan pembekalan benih dan baja yang dijangka dapat memacu hasil tanaman.

“Sarawak dan Sabah, lebih-lebih lagi Sarawak telah memulakan satu projek raksasa penanaman padi dengan benih dan baja yang difikir boleh meningkatkan produktiviti,” ujarnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini