Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan empat langkah intervensi tambahan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, langkah itu termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.
“Kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Tambahnya, langkah itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama beliau, hari ini.
Sementara itu, bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata kerajaan bersetuju memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Oktober ini.
Langkah itu membolehkan BPI diperoleh pada harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.
Katanya tindakan itu diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di kedua-dua negeri adalah terhad.
Selain itu, kerajaan akan melaksanakan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“OP BPT ini akan memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan di kesemua peringkat rantaian pembekalan beras putih tempatan,” jelas beliau.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Harga beras dunia turun daripada paras kemuncak
- BERNAS sokong usaha kerajaan pastikan bekalan beras cukup
- 100 kg beras Jualan Rahmah dijual tidak sampai satu jam
- Jualan Rahmah Beras perlu seiring dengan usaha mengembalikan beras putih tempatan
- Trend pembelian beras putih tempatan bertambah baik – Timbalan Menteri