Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyatakan komitmen untuk memperkasakan Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), yang kini memiliki lebih 150,000 judul koleksi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bertujuan memastikan warisan intelektual Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib Al-Attas terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Insya-Allah, kerajaan akan mengambil inisiatif untuk memperkasa Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di ISTAC dengan koleksi sedia ada yang dianggarkan melebihi 150,000 judul.
“Marilah kita berdoa agar generasi akan datang mendapat inspirasi dan manfaat daripada seorang sarjana Islam unggul kita, guru cemerlang kita, dan Sasterawan Diraja yang kita kasihi, Profesor Naquib Al-Attas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran buku terbaru Profesor Naquib berjudul Islam: The Covenants Fulfilled.
Anwar turut menekankan kepentingan nilai-nilai Islam seperti keadilan, kebijaksanaan, adab, dan pendidikan yang diperjuangkan oleh Profesor Naquib.
Katanya, konsep tersebut telah memberi kesan besar kepada sistem pendidikan negara ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
“Karya agung beliau Islam and Secularism yang diterbitkan lebih empat dekad lalu telah meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan saya percaya ia masih kekal relevan hingga ke hari ini.
“Profesor Naquib dengan semangat yang berkobar-kobar menghuraikan dan memperjuangkan konsep-konsep keagamaan, keadilan, hikmah, adab, dan pendidikan, yang mana saya berusaha untuk menyerapnya, bersama banyak lagi idea dan nilai berat beliau ke dalam sistem kita semasa saya menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 80-an,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kepentingan martabat Melayu berteraskan nilai Islam, yang disifatkan beliau sebagai asas kekuatan masyarakat Melayu.
“Saya ingin menekankan satu perkara asas dalam semua karya ini iaitu keutamaan maruah Melayu dan kekuatan hakiki masyarakat Melayu yang dibina atas asas nilai-nilai Islam.
“Ini adalah aspek yang perlu ditegaskan, terutamanya dalam zaman ini, daripada terjebak dalam delusi kendiri tentang “Melayu kehilangan kuasa” dan histeria “ketuanan Melayu” yang tidak berasas,” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.