Tumpuan :
Nasional

Kerajaan komited pastikan Kedaulatan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) terus terpelihara

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin di Dewan Negara hari ini.

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memastikan Kedaulatan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) terus terpelihara, tegas Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, Malaysia berpendirian tegas menyelesaikan sebarang isu berkaitan Laut China Selatan dengan mengadakan pelbagai rundingan bagi memuktamadkan Deklarasi Kod Tatalaku (COC) yang perlu dihormati oleh semua negara Asean dan China.

“Pada tahun 2017, kita telah memulakan rundingan, ini antara yang telah dan sedang kita lakukakan, yang mana rundingan di antara negara Asean dan pihak China, dan Malaysia juga merupakan pengerusi bersama rundingan dan mesyuarat berkala sedang berjalan.

“Mesyuarat telah dilakukan Indonesia, Thailand, China dan yang terbaharu di Laos, dan akan diteruskan ke negara lain bagi memuktamadkan rundingan COC berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkenaan usaha kerajaan mengawal perairan negara serta adakah wujud rundingan bersama China dan negara Asean dalam usaha melindungi perairan negara.

Ujarnya lagi, kerajaan Malaysia, menerusi Majlis Keselamatan Negara(MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.

“Kerajaan juga melaksanakan pendekatan, “whole of government”, untuk menyelaras tindakan-tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk menjamin keselamatan perairan Malaysia. Setiap agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan.

“Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini