comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan komited naik taraf pasar awam di seluruh negara – Kor Ming

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menaik taraf pasar awam usang di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, usaha itu meliputi pasar awam di negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang seperti Kelantan dan Terengganu.

“Sebagai contoh, bagi negeri Terengganu, pembangunan Pasar Payang Kuala Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM81.2 juta yang meliputi pembinaan pasar sementara dengan peruntukan sebanyak RM12.2 juta.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk kerja menaik taraf Pasar Borong Gong Pauh, yang mana kerja naik taraf akan bermula pada tahun depan,” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Kor Ming berkata, bagi negeri Kelantan, KPKT meluluskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk menaik taraf Pasar Awam Siti Khadijah dan pelaksanaannya dijangka siap pada Januari ini.

Selain itu, KPKT juga meluluskan peruntukan berjumlah RM800,000 untuk menaik taraf Pasar Besar Tanah Merah, Kelantan termasuk penyediaan bekalan air dan elektrik, pemasangan awning, pembinaan tandas serta sistem saliran longkang.

“Keseluruhan projek ini sudah siap sepenuhnya. Hal ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mengambil kira kebajikan dan keperluan semua negeri tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Kor Ming berkata, KPKT sudah menaik taraf 112 unit pasar awam sehingga 1 November lalu, melebihi sasaran tahunan yang ditetapkan iaitu 100 unit.

Sementara itu, bagi tahun 2025, KPKT akan memperuntukkan sebanyak RM54.4 juta bagi membina gerai, membaik pulih prasarana pasar awam, serta menaik taraf gerai dan warung kecil di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara, katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini