Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
PETALING JAYA: Kerajaan terus komited membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara dan membawa mereka pulang ke tanah air.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir Berkata, kerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian akan terus diperhebat bagi menangani masalah berkenaan.
“Janganlah memandang seolah-olah kerajaan tidak melakukan apa-apa kerana pihak kerajaan tidak boleh nak menceritakan langkah-langkah yang dibuat secara terperinci secara strategik.
“Ia melibatkan perkara-perkara yang sangat sensitif yang menyentuh isu-isu keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama pagi tadi.
Setakat ini, 418 mangsa telah berjaya diselamatkan di empat negara terlibat iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
384 daripadanya sudah pulang ke tanah air manakala 34 lagi dalam tempoh tahanan.
Sementara itu, 166 rakyat Malaysia sedang dijejaki dan kerajaan akan terus melaksanakan kempen dan program berkaitan kesedaran.
Masyarakat terutamanya belia juga dinasihatkan berhubung dan mendapatkan pandangan Kementerian Luar sebelum menerima sebarang tawaran kerja di luar negara.
Tambahnya, golongon muda lebih cenderung diperdaya melalui sosial media kerana banyak meluangkan masa dengan alam maya.
“Berhati-hati apabila ada peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan di dalam sosial media.
“Pekerjaan (yang ditawarkan) kononnya dengan pendapatan yang tinggi, terutamanya bekerja di kawasan Myanmar, Kemoja, Laos dan Thailand.
“Sekiranya ada peluang pekerjaan seperti ini, maklumkan kepada kita (Kementerian Luar Negeri) terlebih dahulu,” katanya kepada Buletin TV3 di sini, hari ini.
Ia bagi membolehkan kementeriannya itu menyemak sama ada peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah benar ataupun sebaliknya.