Tumpuan :
Nasional

Kerajaan komited ambil tindakan undang-undang hentikan tuntutan waris kesultanan Sulu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan terus mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya untuk menghentikan tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan undang-undang itu bertujuan melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

Katanya, Mahkamah Agung Perancis, semalam, menolak sepenuhnya tuntutan difailkan oleh kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

“Keputusan penting itu bermakna asas awal bagi ‘Final Award’ yang mengarahkan Malaysia membayar US$14.9 bilion (RM62.59 bilion), tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.

“Mahkamah Rayuan Paris kini akan meneruskan proses untuk membatalkan ‘Final Award’ yang kononnya dikeluarkan oleh Dr Gonzala Stampa dan akan menyelesaikan perkara ini secara muktamad demi kepentingan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azalina turut merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi dalam usaha mempertahankan pendirian Malaysia.

“Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Peguam Negara, Kerajaan Sabah, pejabat Peguam Negara, Kedutaan Malaysia di Perancis serta kementerian dan agensi yang terbabit dan semua pihak lain yang menyumbang kepada usaha ini,” katanya.

September lalu, Mahkamah Agung Belanda juga menolak rayuan difailkan pihak Sulu terhadap Malaysia, sekali gus menamatkan cubaan pihak yang menuntut itu untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda.

Tuntutan itu adalah untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ diberikan Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Februari 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini