comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan kenal pasti senarai awal klasifikasi plastik pakai buang

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kini sedang mengenal pasti senarai awal bagi mengklasifikasikan plastik sekali guna yang bermasalah, tidak diperlukan dan boleh dielakkan.

Ia sebahagian usaha di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 (MPSR) ke arah mengurangkan dan seterusnya menghapuskan penggunaan plastik pakai buang secara bersasar.

Bagaimanapun, Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, memaklumkan usaha berkenaan menghadapi kekangan susulan bidang kuasa berasingan antara pihak kerajaan Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

“Pada masa yang sama kita melihat negeri-negeri seperi Negeri Sembilan yang telah menghapuskan terus penggunaan beg plastik sekali guna di premis tetap dan juga dibuat dalam hari-hari yang tertentu di Pulau Pinang dan juga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Di Wilayah Persekutuan pula penekanan diberi dengan penghapusan penggunaan plastik konvensional dan penggalakkan penggunaan beg plastik biodegradasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi di Dewan Negara hari ini.

Tambah beliau, kementeriannya juga berusaha dalam memastikan penggunaan bahan kitar semula dalam pembuatan plastik dan melaksanakan perluasan tanggungjawab pengeluar (ERR).

Katanya MPSR turut menyasarkan pelaksanaan kitaran plastik secara menyeluruh dengan menerapkan konsep ekonomi kitaran dalam rantaian pengurusan plastik.

Selain itu, kementeriannya juga memastikan plastik yang terhasil adalah plastik boleh dikitar semula dan seterusnya dapat mengurangkan janaan sisa plastik berakhir di tapak pelupusan sampah.

“Kami juga di NRES telah berbincang dengan adakan kerjasama dengan pihak SIRIM untuk ‘eco-design’ untuk membolehkan produk2 ini lebih mesra alam sekitar dan mudah dikitar semula.

“Pada masa yang sama MPSR menambah baik sasaran Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.

“Yang ini lebih fokus kepada plastik sekali guna yang bermasalah, tidak diperlukan dan boleh dielakkan,” katanya.

Jelas beliau melalui senarai itu, kementeriannya dapat melihat plastik mana yang boleh dihapuskan dan dikurangkan secara bersasar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini