comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Kelantan tidak akan beli aset GISBH yang ditutup

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan – Foto NSTP

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak akan membeli aset Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang dijual berikutan penutupan beberapa premis termasuk restoran dan juga hotel.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia susulan beberapa perkara yang perlu diambil kira, bagaimanapun agensi di bawah kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk membeli aset GISBH.

“Kita tengok dahulu. Hal ini kerana kita (kerajaan negeri) tidak boleh beli tetapi agensi kerajaan negeri boleh berbuat demikian.

“Saya difahamkan banyak premis GISBH sudah ditutup,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan MABNA, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Berhubung dengan pelbagai dakwaan terhadap organisasi itu, Mohamed Fadzli berkata siasatan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, sebelum ini di Kelantan sudah ada satu fatwa berkenaan dengan pengharaman Al-Arqam dan sekiranya GISBH mewarisi amalan kumpulan itu, maka ia tidak memerlukan fatwa yang baharu.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri menyerahkan perkara ini kepada pihak yang berautoriti untuk menyiasat samada polis, majlis agama, ataupun jabatan agama.

“Walau bagaimanapun, kita kita cuma minta supaya jangan menghukum sebelum diadili dan sekiranya didapati bersalah dari sudut agama atau peraturan negara kita minta tindakan yang sepatutnya diambil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan mengesahkan tiada ahli parti itu dikesan terlibat dengan kumpulan GISBH dan Al-Arqam.

Beliau berkata, Pas dan Al-Arqam adalah dua entiti berbeza dan tiada ahli Pas yang dikesan terbabit dengan kumpulan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini