comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan kekal dasar tiada dwi warganegara


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan kekal dengan dasar untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia memiliki dua atau lebih kerakyatan setakat ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang perubahan dasar tersebut akan diputuskan sekiranya terdapat keperluan tertentu.

“Buat masa sekarang, dasar itu kekal (tidak benarkan dua kerakyatan) kita tak nak usik apa-apa lagi.

“Kalau nantinya kita menghadapi keadaan berbeza ke depan, apakah kita ke arah itu? Kita putuskan pada waktu itu,” katanya pada Sesi Libat Urus dan Merarau Menteri Dalam Negeri bersama Ketua Pengarang Media, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Kamaruddin Mape.

Beliau ditanya sama ada kerajaan sedia menyemak semula dasar yang tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan jika terdapat kepentingan itu pada masa akan datang.

Untuk rekod, dwi warganegara iaitu seorang warganegara Malaysia memegang kewarganegaraan lain, tidak dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut Saifuddin Nasution, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mencapai sasaran untuk menyelesaikan permohonan kewarganegaraan.

Setakat hari ini, sebanyak 17,400 permohonan kewarganegaan telah dibuat keputusan berbanding 17,000 permohonan kewarganegaraan yang disasarkan sepanjang tahun ini.

Jelasnya, 80 peratus daripada permohonan membabitkan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan iaitu kategori anak angkat, anak jagaan, anak tidak sah taraf dan naturalisasi.

“Saya juga katakan bahawa semua permohonan di bawah 15(2) Perlembagaan iaitu anak lahir luar negara daripada ibu warganegara, permohonan lama semua keputusan telah kita buat, tiada lagi kes yang belum kita belum buat keputusan.

“Saya sebut buat keputusan, saya tak kata kita luluskan sebab kalau anak duduk luar negeri, duduk di Dallas, Amerika Syarikat, satu momen pun tak pernah pijak kaki sini, tak pernah balik tapi angkat permohonan, yang itu bukan pertimbangan kita untuk beri kelulusan.

“Dia (pemohon) kena ada tunjuk kesediaan untuk berada di sini sebagai contoh supaya biar kewarganegaraan itu adalah satu yang bernilai bila kita pegang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini