Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Kedah didesak siasat kesan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda

Imej satelit menunjukkan keadaan mendapan selut di Empangan Muda semakin ketara pada Oktober 2023 berbanding imej pertama yang dirakam pada Mac 2023. – Foto RimbaWatch

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kedah sekali lagi didesak pemerhati alam sekitar, RimbaWatch agar menyiasat kesan pembalakan terhadap kawasan tadahan Hutan Simpan Ulu Muda.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, pihaknya tidak menuduh berlaku pembalakan haram di kawasan hutan berkenaan sebaliknya hanya mahu menyatakan, mereka mengesan berlaku mendapan di sungai Ulu Muda.

Katanya, RimbaWatch mahu kerajaan negeri untuk menjelaskan mengapa berlakunya aktiviti pembalakan sedemikian berhampiran kawasan tadahan air di hutan simpan itu.

“Pihak berkuasa Kedah perlu menjelaskan perkara itu, menyiasat kesan persekitaran berdekatan, menghentikan pembalakan dan mewujudkan keseluruhan perlindungan di kawasan berkenaan.

“Dalam kenyataan terdahulu RimbaWatch kami tidak menuduh secara tersurat atau tersirat pembalakan haram terjadi di Hutan Simpan Ulu Muda,” katanya, di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan tiada kegiatan pembalakan dan penerokaan haram dilakukan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda sehingga menjejaskan sumber air domestik seperti yang didakwa RimbaWatch.

Katanya, berdasar laporan Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia (JPSM) mendapati, tiada sebarang kegiatan melanggar undang-undang di kawasan berkenaan terutama berdekatan sumber air di Tasik Muda.

Terdahulu, RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.

Kajian yang dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu, dan mendapan didapati semakin membesar pada Oktober lalu.

Masalah itu dijangka akan menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini