KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, Akta 298 dalam meningkatkan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat beberapa elemen yang perlu ditambah baik dalam akta berkenaan kerana aset penting kerajaan dikawal olehnya.
“Daripada akta ini lahirlah satu arahan pentadbiran. jadi kesemua sasaran penting negara yang meliputi 13 sektor ini dimasukkan sebagai sasaran penting melalui arahan pentadbiran.
“Bila kami kaji, untuk meminda Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan kami nak masukkan terus sasaran penting ini di dalam akta itu bukan lagi melalui arahan pentadbiran, ianya jadi lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting 2023 di sini hari ini.
Katanya, elemen yang akan ditambah baik adalah nilai hukuman kerana akta berkenaan sudah tidak relevan.
Mengulas lanjut mengenai agensi tunggal sempadan SBA yang akan dilaksanakan pada suku tahun hadapan, beliau berkata, penglibatan pelbagai agensi di sempadan bakal melancarkan sistem negara.
Jelasnya, ia bagi memastikan aspek koordinasi yang baik di sempadan selain mengukuhkan integriti pegawai.
Terdahulu ketika berucap dalam majlis berkenaan, beliau memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan tiga tindakan utama iaitu mewujudkan undang-undang baharu, kajian akta lapuk dan penubuhan institusi penguatkuasa baharu untuk meningkatkan keselamatan negara.