SHAH ALAM: Kerajaan sedang mengkaji impak platform kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka DeepSeek China terhadap Malaysia, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
DeepSeek mendapat perhatian pantas dan model AI platform itu dikatakan menandingi atau melebihi keupayaan platform yang mantap seperti ChatGPT OpenAI.
Gobind berkata, kerajaan memberikan perhatian serius terhadap DeepSeek dan modelnya sebelum ia boleh disesuaikan untuk kegunaan tempatan supaya seiring dengan perkembangan pesat landskap AI.
“Pada masa lalu, kita sudah melihat kemunculan ChatGPT dan banyak perkembangan lain dalam dunia AI.
“Ini adalah pembangunan teknologi yang berterusan dan melihat lebih banyak produk berkaitan sebelum meneruskannya.
“Saya fikir kita perlu mengkaji perkara ini untuk melihat bagaimana kita juga boleh menyesuaikannya dengan teknologi semasa di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat mengenai sistem pengurusan digital kuil di Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman Thirukkovil di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Chatbot kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek, semakin mendapat perhatian di peringkat global, mencabar kedudukan ChatGPT milik OpenAI meskipun beroperasi dengan sumber yang jauh lebih terhad.
Kepopularan model AI ini melonjak di gedung aplikasi mudah alih, mengatasi ChatGPT di beberapa pasaran utama termasuk Amerika Syarikat (AS), sekali gus menonjolkan kecekapan kos dan keberkesanannya.
Kejayaan DeepSeek mencetuskan perbincangan dalam industri teknologi kerana ia beroperasi dengan hanya sebahagian kecil daripada sumber yang digunakan pesaingnya.
Berbeza dengan syarikat AI gergasi lain yang bergantung pada lebih 16,000 cip berteknologi tinggi, DeepSeek dibangunkan menggunakan hanya 2,000 cip generasi lama, susulan sekatan eksport cip yang dikenakan AS terhadap China.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.