Tumpuan :
Nasional

Kerajaan kaji garis panduan penglibatan orang Islam sertai majlis sambutan perayaan agama bukan Islam

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang membangunkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa garis panduan ini bertujuan menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia.

Menurut beliau, garis panduan ini akan memberikan panduan kepada umat Islam agar dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara agama lain dengan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.

“Garis panduan yang sedang dibangunkan itu juga adalah bersifat nasihat, setelah ia dimuktamadkan nanti, garis panduan ini akan memandu dan merancakkan usaha Kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling hormat-menghormati di kalangan rakyat tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam.

“Ia secara langsung akan memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara para penganut agama,” katanya.

Mohd Na’im turut menjelaskan bahawa garis panduan ini masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN).

Jelasnya, ia akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126, yang dipengerusikan oleh Datuk Nooh Gadot serta dianggotai oleh mufti-mufti dan ahli-ahli pakar.

Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI ini kemudiannya akan dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Justeru, Mohd Na’im menggesa semua pihak agar tidak menimbulkan salah faham atau mempolemikkan isu ini sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“Tujuan Garis Panduan ini dibangunkan adalah mulia iaitu demi memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksana secara tertib dan seterusnya menjadi salah satu wadah berkesan ke arah pengukuhan keharmonian negara tercinta,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini