JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan memastikan remaja lelaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan enam ahli keluarganya, mendapat rawatan yang terbaik di Hospital Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, Abdullah Amir Ruddin, 15, yang parah, ketika ini masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan stabil.
Artikel berkaitan: Nahas Segamat, Abdullah kini stabil
“Abdullah masih dalam pemantauan pasukan perubatan dan ditidurkan dalam ICU, kita lihat keadaannya juga adalah stabil, sama seperti sebelum ini.
“Kerajaan negeri akan memberi bantuan dari segala segi termasuk kos perubatan. Kita juga akan memastikan beliau mendapat rawatan yang terbaik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keadaan remaja terbabit.
Beliau berkata demikian kepada BERNAMA selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan Rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Bantuan Rahmah di Zon Pulai, di Taman Bukit Kempas, di sini malam tadi.
Ling turut meminta orang ramai, khususnya saudara dan komuniti untuk terus memberikan sokongan positif kepada abang sulung remaja terbabit, iaitu Abdul Rahman Amir Ruddin, 19.
“Sebagai seorang abang, pastinya untuk berhadapan dengan cabaran seperti ini adalah tidak mudah. Jadi, saya menyeru sokongan positif terutama dari saudara dan komuniti terdekat, kerana beliau sangat-sangat memerlukannya,” katanya.
Kemalangan pada 1 September lalu di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, telah mengorbankan bapa dan ibu mangsa iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43.
Turut maut empat lagi adik-beradik mangsa, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori. – BERNAMA