comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Johor pandang serius penganjur acara gugat kedaulatan Islam

KOTA TINGGI: Kerajaan Negeri Johor memandang serius acara larian yang disertai pelancong asing berpakaian tidak senonoh dan seolah-olah mempromosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sebuah hotel dekat Bandar Penawar di sini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, program itu bukan anjuran kerajaan negeri mahupun mana-mana agensi di bawahnya.

Justeru beliau meminta pihak polis menyiasat tujuan sebenar penganjuran program berkenaan yang jelas tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.

“Kerajaan Negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri Johor.

“Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan acara yang mencetuskan isu yang menggugat keharmonian dan kedaulatan agama Islam serta menjatuhkan imej negeri Johor secara keseluruhan” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri sebelum ini mengesa pihak berkuasa menyiasat acara larian yang disertai pelancong dari luar negara yang berpakaian tidak senonoh di sebuah hotel dekat Bandar Penawar di sini.

Fauziah difahamkan acara Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 dianjurkan oleh Persatuan The Hash House Harriers.

Terdahulu tular di media sosial group komuniti Khas Penduduk Kota Tinggi yang berkongsi video dan gambar-gambar sempena acara larian songsang berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini