comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Johor ambil tindakan perundangan dan pemulihan terhadap pengikut 19 ajaran sesat

Mohd. Fared (tengah) ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan zakat petang tadi.

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan mengambil tindakan perundangan dan pemulihan ke atas pengikut 19 ajaran sesat yang telah difatwakan terpesong dari Ahli Sunnah Wal Jemaah di negeri itu.

Perkara itu ditegaskan Exco Hal-Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid.

Katanya, tindakan tegas itu diambil memandangkan pihaknya mendapati ajaran sesat berkenaan masih mempunyai saki-baki pengikutnya.

“Kita tegaskan bahawa tindakan perundangan dan pemulihan akan dikuatkuasakan bagi menangani perkara ini” katanya menerusi laman Facebook.

Justeru, beliau mengajak semua masyarakat agar menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dan segera melaporkan kepada Pihak Berkuasa Agama atas segala bentuk kekeliruan dan kepelikan dalam ajaran Islam yang mungkin berlaku dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Mohd Fared menambah, Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) sedang menyiasat kemungkinan pengikut Global Ikhwan Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) masih mengamalkan ajaran Tarekad Aurad Muhammadiyah iaitu amalan pengikut kumpulan al-Arqam yang diharamkan pada 1994.

“Jika terkait dengan ajaran Aurad Muhamadiyyah pasti mereka akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Johor,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan zakat berjumlah lebih RM930,000 sumbangan oleh 10 syarikat kepada Majlis Agama Islam Johor, petang tadi.

Baru-baru ini, dalam beberapa siri serbuan di premis milik GISHB melalui Op Global, pihak berkuasa merampas beberapa bahan bacaan termasuk buku dipercayai ada kaitan dengan Aurad Muhamadiyah yang difatwakan sesat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini