comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Johor akan bertindak ke atas kilang terbabit kes pencemaran

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan ke atas kilang yang menyebabkan pencemaran bau di sekitar bandar raya itu dan Kota Tinggi bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon bagaimanapun berkata sebarang tindakan hanya akan dilakukan selepas perbicaraan ke atas lima tertuduh selesai.

“Lima orang yang menjadi suspek kes ini telah didakwa dan mereka bagaimanapun tidak mengaku bersalah. Oleh itu kita perlu tunggu perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Ling ditanya mengenai tindakan seperti kompaun, menutup atau menyita ke atas kilang yang menyebabkan pencemaran hingga menjejaskan alam sekitar dan kesihatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis akan terus memantau kilang-kilang yang menghasilkan sisa buangan terjadual bagi mengelak kejadian sama berulang.

Ling berkata sehingga kini sebanyak 150 kilang yang menghasilkan sisa buangan terjadual telah diperiksa sejak kejadian pencemaran bulan lepas.

Sebelum ini, media melaporkan lima lelaki termasuk seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada 26 September atas tuduhan melakukan sabotaj menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan air di Bandar Tenggara.

Kejadian berkenaan menyebabkan 38 penduduk Orang Asli dipindahkan ke kampung berhampiran setelah mendakwa mengalami sesak nafas dan pening kepala dipercayai akibat pencemaran di Sungai Liu.

Selain itu, penduduk di beberapa kawasan perumahan di Johor Bahru di Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin dan Kampung Melayu Pandan turut diancam pencemaran bau September lalu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini