Tumpuan :
Nasional

Kerajaan jimat RM600 juta sebulan menerusi penyasaran subsidi diesel

FOTO: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung sejak Jun lalu menjana penjimatan kira-kira RM600 juta sebulan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, penjimatan yang diperoleh kerajaan daipada langkah itu akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan kepada sektor kritikal lain seperti infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Ia secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Sehingga 31 Oktober tahun ini, lebih RM 140,000 penerima Budi Individu dan 65,000 penerima Budi Agrokomoditi diluluskan dalam tempoh lima bulan pelaksanaan sejak Jun 2024 yang melibatkan jumlah bayaran RM 160 juta.

“Selaras dengan penyasaran semula subsidi diesel, kerajaan telah mengapungkan harga diesel tanpa subsidi di pam bagi minggu pertama bermula 10 Jun 2024 kepada RM 3.35 seliter berbanding RM 2.15 seliter melalui kaedah apungan harga secara terkawal.

“Sehingga kini kerajaan telah menurunkan harga diesel tanpa subsidi sebanyak RM 0.40 seliter menjadikan harga apungan semasa kini pada kadar RM 2.95 seliter, katanya di sidang di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying

Ujarnya di bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, 23 jenis kenderaan diesel pengangkutan barangan darat yang menggunakan ‘fleet card’ akan kekal menikmati harga diesel pada kadar RM 2.15 seliter.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan tunai RM 200 sebulan atau RM 2400 setahun kepada individu pemilik kenderaan diesel persendirian, golongan petani dan pekebun kecil di bawah Budi Individu dan Budi Agrokomoditi, tertakhluk kepada kelayakan.

Selaras dengan pelaksanaan di Semenanjung, Lim berkata kerajaan juga sedang mengkaji untuk pelaksanaan langkah itu di Sabah dan Sarawak

“Di Sabah Sarawak pada ketika ini kerajaan tidak melaksanakan penyasan subsidi diesel memandangkan sebahagian besar mod pengangkutan untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan projek pembangunan di kedua-dua negeri ini bahan apinya menggunakan diesel.

“Tambahan pula kleadaan geografi di situ menghadkan untuk melaksanakan mekanisme fleet card yang memerlukan kemudahan dan infrastruktur yang lebih sesuai terutamanya di kawasan pedalaman.

“Bagaimanapun kita masih mengkaji untuk memastikan pelaksanaan (penyasaran subsidi diesel) mungkin pada masa hadapan, tetapi kita perlu lebih masa untuk mengkaji,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini