Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan segala usaha kerajaan membantu rakyat yang memerlukan tidak akan menyebabkan sesuatu pentadbiran itu tumbang.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan jatuh kerana amalan rasuah dan penyelewengan yang berleluasa.
“Pendapat saya mudah (iaitu) ekonomi asas yang mudah, saya tak pernah baca pengalaman, sejarah sama ada Islam, China purba, India, Arab dan Amerika Latin bahawa kerajaan ini jatuh kerana tolong, belanja banyak kepada orang miskin, saya tak pernah dengar.
“Belum pernah tercatat dalam sejarah mana-mana pemerintah itu kalau jatuh kerana membantu rakyat miskin atau menaikkan gaji yang sepatutnya, upah yang adil, tak pernah.
“Kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan, tamak haloba, itu kita elak,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran tujuh projek Residensi MADANI Putrajaya, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mengambil keputusan berani dengan mengumumkan peningkatan gaji minimum dalam Belanjawan 2025 dan penyelarasan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menurutnya, tindakan itu memerlukan tekad politik biarpun terdapat segelintir pihak tidak bersetuju mengenainya.
“Kalau saya tanya syarikat takkan ada keputusan, mustahil ada keputusan (naik gaji minimum). Jadi saya bincang bersama kawan di Jemaah Menteri, saya kata, negara sedang membangun dengan baik dan kemasukan besar pelaburan asing, kita tidak boleh melihat layanan sedemikian kepada pekerja.
“Kita bukan naik (dari RM1,500 kepada) RM2,500 atau RM3,000, kita naik RM1,500 ke RM1,700 dan berperingkat, syarikat kecil bagi masa (untuk pelaksanaan).
“Saya harap berilah kerjasama, sama-sama kita hadapi kerana ini saja kita boleh lakukan, ini dikatakan tekad politik. Tak semua orang akan senang dan bersetuju. Tapi inilah cabaran pimpinan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menyelar tindakan beberapa Ahli Parlimen yang menyerang peribadi beliau dan bukan berkaitan dasar kerajaan ketika perbahasan Belanjawan 2025.
“Saudara tahu di Parlimen itu, perbahasan jadi aneh, soal songkok Perdana Menteri senget ke tak senget, soal capal. Ini maknanya bila bankrap idea, dia tiada modal,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri mahu setiap projek perumahan disiapkan segera dengan mutu yang memuaskan seperti yang dijanjikan pemaju.
Jelasnya, projek yang lewat siap di antara tiga sehingga enam bulan bukan sahaja menyebabkan kos pembinaan meningkat, malah mendera rakyat yang menunggu kediaman mereka.
“Jadi pastikan pengawasannya, kecepatan pelaksanaan projek dan kalau ada apa-apa masalah dari sudut karenah birokrasi, selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Sejumlah 4,000 unit Residensi MADANI Putrajaya bakal ditawarkan kepada rakyat untuk memiliki kediaman dengan harga serendah RM200,000 seunit yang dijangka siap dibina menjelang tahun 2028.
Berkeluasan 800 kaki persegi dan dilengkapi pelbagai kemudahan awam, tujuh projek Residensi MADANI itu terletak di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 iaitu Residensi Madani Sentral, Serunai, Cemara, Cengkih, Cempaka, Mawar serta Melur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.