Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjalinkan kerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi sebagai langkah menangani isu Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kolaborasi bersama agensi di peringkat negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut dijalankan bagi memastikan langkah yang strategik dan tuntas dapat diambil.
Selain itu katanya, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyusun 5 langkah untuk menangani isu berkenaan dengan lebih efektif dan berkesan.
“Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil pendekatan untuk bekerjasama dalam menangani isu GISBH.
“Bagi menangani isu GISBH dengan lebih efektif dan berkesan, Kerajaan menerusi JAKIM telah menyusun lima langkah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan yang ingin tahu mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu GISBH yang telah timbul kembali sejak sekian lama.
Lima langkah berkenaan adalah Pembentangan kajian dan penyelarasan fatwa di peringkat negeri; Penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah perundangan syariah negeri-negeri; Mengadakan program pemulihan akidah secara holistik kepada ahli GISBH.
JAKIM juga akan menjalankan pemantauan berterusan secara bersepadu dan mengadakan Program penjelasan fatwa GISBH kepada masyarakat.
Tambah Datuk Mohd Na’im, JAKIM juga akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam secara keseluruhannya termasuklah ahli-ahli GISBH.
Tumpuan itu akan dibuat melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif serta berkesan dengan kerjasama MAIN dan Jabatan Agama Islam Negeri serta agensi- agensi lain yang berkaitan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.