KUALA LUMPUR: Kerajaan menghormati keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Datuk Seri Najib Razak sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Najib juga boleh mengemuka permohonan rayuan pengampunan sekali lagi selepas ini kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, untuk mendapatkan pengampunan seterusnya.
“Bagaimanapun, terdapat kes (melibatkan Najib) yang sedang berjalan di mahkamah, melalui proses kehakiman secara bebas yang masih perlu diteruskan. Pada masa sama, Najib berhak sekali lagi merayu kepada Yang di-Pertuan Agong baharu. Saya rasa proses itu perlu dihormati, ia di luar bidang kuasa Perdana Menteri atau kerajaan.
“Saya menghormati keputusan tuanku. Sekarang kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong baru. Apa saja yang dirasakan, sudah tentu ia sangat politik, ada yang menyokong, ada yang tidak. Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kamu mesti menghormati hak setiap orang yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.
“Kini Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas hati..maka ia adil, jika sebaliknya, beliau masih mempunyai jalan untuk merayu selepas ini,” katanya dalam tembual bersama Al-Jazeera petang tadi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Najib sudah melalui proses undang-undang untuk memohon pengampunannya, ketika beliau kini sedang menjalani hukuman di penjara.
“Najib melalui proses undang-undang dan kini berada dalam penjara. Tetapi ia adalah hak setiap rakyat yang disabitkan untuk merayu kepada raja.
“Saya pernah duduk di Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, dan kini dipegang oleh orang lain. Tetapi sudah tentu raja sebagai Raja Berperlembagaan, baginda berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.