comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan diseru tambah baik peruntukan bidang keusahawanan 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru menambahbaik peruntukan kepada agensi berkaitan keusahawanan untuk memberikan lebih banyak peluang kepada rakyat dalam bidang perniagaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penglibatan rakyat dalam bidang keusahawanan tidak hanya dapat meningkatkan pendapatan, tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi negara.

“Selain bantuan pendidikan, elemen keusahawanan perlu diberi tumpuan. Contohnya, agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan penting dalam bidang ini”

“Peruntukan khusus diperlukan untuk menggalakkan keusahawanan, walaupun kejayaan mungkin hanya 30 atau 40 peratus, namun keusahawanan dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita di PPR Hiliran Ampang.

Menyentuh mengenai program hari ini, Datuk Seri Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ia bertujuan memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan serta dianjurkan oleh MARA di 48 kawasan termasuk di Parlimen Titiwangsa.

“Kursus ini penting yang mana usahawan ini secara tak langsung mereka ialah ejen pembangunan ekonomi, boleh mewujudkan banyak peluang kerja serta membantu kerajaan membasmi kemiskinan. 

“Kemiskinan ini kerajaan boleh bantu, tapi tak sepanjang masa. Jadi kita beri latihan usahawan ini bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan kecil sebagai pendapatan sampingan,” ujarnya.

Ditanya mengenai pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini,  beliau berkata, kementeriannya sentiasa menekankan peruntukan wang untuk penanaman semula sawit terutama kepada pekebun kecil.

“Banyak pekebun kecil ini pokok mereka dah tua, lebih 20 tahun, buah juga dah kurang. Kalau dapat tanam semua, pendapatan mereka berterusan lah.

“Dari segi pihak industri, mereka datang jumpa kementerian untuk tekankan sama ada kerajaan boleh lihat semua levi keuntungan luar biasa untuk industri sawit,” ujarnya. 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini