Tumpuan :
Nasional

Kerajaan disaran tingkat pembiayaan agensi berkaitan keusahawanan – Johari Ghani

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran meningkatkan pembiayaan bagi agensi berkaitan keusahawanan, sebagai langkah memberi lebih banyak peluang dan penyertaan kepada orang ramai dalam sektor perniagaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pembabitan orang awam dalam keusahawanan bukan saja akan meningkatkan pendapatan, tetapi ia juga dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.

“Selain bantuan pendidikan, keusahawanan juga perlu diutamakan. Contohnya, agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (TEKUN Nasional) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan penting dalam sektor ini.

“Pembiayaan khusus diperlukan untuk menggalakkan keusahawanan, walaupun kadar kejayaan mungkin hanya 30 atau 40 peratus.

“Namun, bidang keusahawanan dapat mencipta banyak peluang pekerjaan,” katanya seperti dipetik laporan Buletin TV3 selepas merasmikan Program Pemberdayaan Wanita di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang.

Mengulas program dihadiri hari ini, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, inisiatif berkenaan bertujuan untuk memberdayakan golongan hawa dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, program berkenaan dianjurkan MARA di 48 lokasi, termasuk di kawasan Parlimen Titiwangsa.

“Program ini penting kerana usahawan bertindak sebagai ejen tidak langsung dalam pembangunan ekonomi. Ia boleh mencipta banyak peluang pekerjaan dan membantu kerajaan dalam membasmi kemiskinan.

“Kemiskinan boleh diatasi oleh kerajaan tetapi bukan untuk selama-lamanya. Oleh itu, kita menyediakan latihan keusahawanan ini bagi membolehkan peserta memulakan perniagaan kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya.

Ditanya mengenai Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini, Johari berkata kementeriannya akan terus mengutamakan peruntukan bagi inisiatif penanaman semula pokok kelapa sawit, terutamanya untuk pekebun kecil.

“Ramai pekebun kecil mempunyai pokok tua yang berusia lebih 20 tahun dan hasilnya telah menurun. Jika mereka dapat menanam semula, pendapatan mereka akan terus mampan.

“Dari perspektif industri, ada wakil telah datang kepada kementerian untuk menyuarakan kebimbangan sama ada kerajaan dapat mengkaji semula levi keuntungan luar biasa ke atas sektor kelapa sawit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini