Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang untuk mewujudkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan stadium khusus berkaitan sukan elektronik (e-sukan) mengambil kira potensi pembangunan sukan tersebut di negara ini.
Untuk tujuan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebuah institusi TVET di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan ditukar untuk dijadikan sebagai TVET e-sukan.
“TVET ‘esports’ (e-sukan) ini bagi melatih generasi muda yang terlibat dengan esports agar mereka dapat dilatih menjadi pemain profesional. Kami berhajat untuk mewujudkan ikon esports di peringkat dunia dan potensinya cukup baik,” katanya yang ditemui pemberita di pejabatnya, di sini hari ini.
Mengulas cadangan stadium e-sukan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, beliau menyarankan KBS untuk menyediakan Nota Jemaah Menteri mengenai perkembangan dan pembangunan sukan terbabit termasuk saranan untuk menyediakan stadium khusus e-sukan sebagai tanda galakan daripada kerajaan.
“Namun kita tahu kekangan kewangan sekarang ini akan menjadi hambatan pembinaannya namun saya fikir kita mesti memulakan sesuatu daripada sekarang untuk memberikan galakan baik kepada mereka.
“Saya juga telah menyarankan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk penyediaan latihan khusus untuk esports,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan mengadakan pertemuan tertutup bersama wakil MOONTON Games dan pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) profesional negara di pejabatnya.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan komitmen dan sokongan terhadap MOONTON Games serta pasukan Selangor Red Giants, Homebois dan Gaimin Gladiators HomeGirls yang akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Dunia E-Sukan di Riyadh, Arab Saudi pada 28 Jun hingga 14 Julai ini.
“Oleh kerana esports adalah sesuatu yang menarik jutaan peminat bukan sahaja di negara kita tetapi di seluruh dunia malah dalam Grand Finals MLBB Professional League (MPL) lalu, ‘viewers’ telah mencapai kira-kira 20 juta penonton dan penyertaan keseluruhan adalah melebihi 1.2 bilion.
“Ini menjadikan esports adalah sesuatu yang harus diberi dukungan oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan tentunya harus mendukung hasrat anak muda supaya kita berada di peringkat dunia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.