comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan bincang kawal selia TikTok Shop

TikTok Shop

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan mengenai aspek kawal selia di TikTok Shop.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memaklumkan ia susulan pertemuan Timbalannya, Teo Nie Ching dengan pihak TikTok pada Khamis lepas, yang memperoleh maklumat asas berkaitan urusan perniagaan dalam talian itu, termasuk demografi dan barangan yang dijual menerusi platform itu.

Jelasnya perbincangan dengan pihak berkepentingan lain perlu memandangkan bidang kuasa kementeriannya juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia lebih kepada kawal selia penggunaan rangkaian.

“Tetapi ada beberapa perkara lain di bawah bidang kuasa seperti contoh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kita akan adakan perbincangan sebelum kita rumuskan tindakan kerajaan,” katanya dalam satu majlis di ibu negara.

TikTok Shop

7 Oktober lalu Fahmi dilaporkan memaklumkan kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian di negara ini.

Menurut Fahmi beliau sendiri pernah menerima aduan orang awam yang melahirkan kerisauan jika langkah yang sama diambil kerajaan.

Namun pada masa sama beberapa gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga terhadap produk yang dijual menerusi platform TikTok Shop.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini