Tumpuan :
Nasional

Kerajaan beri penginapan sementara kepada 19 kakitangan SPRM terjejas tanah runtuh

Anggota Bomba melakukan pemantauan di lokasi kejadian tanah runtuh di bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada 19 kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam insiden tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), kelmarin.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad, berkata kemudahan sementara itu disediakan untuk memastikan kakitangan MACA tidak terganggu dengan insiden itu.

Setakat ini perancangan membaik pulih kemudahan yang terkesan dengan tanah itu berkemungkinan mengambil masa sehingga dua minggu.

“Kita sediakan 19 rumah kepada mereka ini kawasan-kawasan berdekatan tempat kerja mereka. Jadi isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini,” katanya selepas membuat lawatan di tapak runtuhan, di sini hari ini.

Kelmarin, tanah runtuh dilapor berlaku berdekatan bangunan MACA milik SPRM di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, dikatakan berpunca daripada takungan air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu serta paip bawah tanah yang pecah, turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian runtuhan cerun bukan disebabkan faktor semulajadi sebaliknya berpunca akibat kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air, di kawasan itu.

Beliau berkata, kebocoran paip pada sistem perpaipan mengakibatkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi (fully saturated) seterusnya meningkatkan ‘lateral force’ kepada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile.

Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan membuka jalan alternatif untuk memudahkan urusan kakitangan MACA.

Loading...
Terkini