Tumpuan :
Nasional

Kerajaan beri galakan kerja-kerja sukarelawan, lulus peruntukan RM3 juta kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM)

Oleh Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan RM3 juta kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) sebagai galakan kepada kerja-kerja sukarelawan yang dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim peruntukan juga boleh digunakan bagi kerja-kerja kebajikan lain selain penyelenggaraan pejabat.

“Kerajaan setuju meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun untuk perkhidmatan ambulan kecemasan 999 dikembalikan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” berucap pada perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-75 BSMM.

“Kedua, geran persediaan menghadapi bencana sebanyak RM1 juta di peruntukan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA dan RM1 juta akan disalurkan untuk persiapan pembangunan kapasiti di ibu pejabat dan negeri,”.

Hadir sama pada program diadakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa.

Tambahnya selaku sebuah organisasi kemanusiaan, BSMM perlu terus mempromosikan masyarakat yang adil dan mempunyai nilai hormat, keyakinan dan ihsan.

BSMM merupakan contoh cemerlang bagi sebuah organisasi yang hanya boleh dicapai dengan adanya dedikasi, komitmen yang tinggi serta semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan.

Pada majlis sama, Datuk Seri Anwar memberitahu beliau kagum dengan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan ahli-ahli BSMM dan ia sepatutnya dicontohi semua lapisan masyarakat.

BSMM sentiasa menyantuni projek pasca bencana dan pandemik dan sering menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Bagi Datuk Seri Anwar program dilaksanakan BSMM dapat membantu membentuk minda masyarakat Malaysia yang penyayang.

“Falsafah itu bertepatan dengan konsep Malaysia Madani yang bermatlamat untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan di antara satu sama yang lain,” tambahnya lagi.

Loading...
Terkini