Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KDN tentu garis panduan penjualan mercun dan bunga api

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk menghalalkan penjualan mercun dan bunga api, bagaimanapun ia tertakluk kepada peraturan dan garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.

Menteri Pembangunan Kerajaan tempatan, Nga Kor Ming, berkata untuk itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan untuk itu, manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Kabinet semalam selepas mengambil kira penjualan mercun dan bunga api boleh menjadi satu lagi punca hasil kepada negara.

“Semalam Jemaah Menteri sudah meluluskan pembakaran mercun dan bunga api. Akan dihalalkan, tetapi ia tertakluk kepada permohonan lesen import dan duti serta mengikut peraturan dan garis panduan.

“Kita tahu pembakaran mercun menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia. Tak kira Tahun Baharu Cina, Deepavali, Aidilfitri atau Krismas,” katanya kepada pemberita pada program Jalinan Muhibbah KPKT, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata premis makanan dan minuman (F&B) di kawasan bandar raya berisiko tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan sekiranya gagal mendapat persijilan bertaraf A bagi kebersihan tandas.

Beliau berkata, ia bakal membabitkan semua jenis premis F&B termasuk restoran, hotel serta warung.

Katanya, pelaksanaan pensijilan itu akan dimulakan tahun depan di semua premis di bandar raya seluruh negara.

“Di peringkat kawasan bandar raya, semua premis F&B wajib mendapat Sijil A untuk kebersihan tandas restoran, hotel warung kopi dan kedai mamak.

“Jika tak capai, kebersihan Sijil A maka pembaharuan lesen mungkin tidak dibenarkan.

“Kita akan ada garis panduan yang jelas mengenai perkara yang perlu dibuat,” katanya.

Loading...
Terkini