Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR : Kerajaan belum menoktahkan hasrat untuk melaksanakan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan GST, namun ia tidak akan diperkenalkan semula tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan GST akan membantu kerajaan meningkatkan pendapatan, sekali gus membolehkan lebih banyak usaha membantu rakyat, khususnya membasmi kemiskinan tegar.
“GST sebenarnya boleh membantu pendapatan yang lebih, dengan pendapatan yang lebih itu kita boleh membantu rakyat yang susah. mungkin jika sekarang ini kita ingin menoktahkan kemiskinan tegar.”
“Jika ada GST kita boleh menoktahkan kemiskinan yang Bukan hanya Pendapatan 1,109 boleh dinoktahkan, tapi juga yang pendapatan 2,208 ke bawah juga boleh dinoktahkan jika kita mempunyai kewangan yang banyak.” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer sama ada pelaksanaan semula GST pada bila-bila akan memberi kesan kepada rakyat, khususnya golongan B40, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
Jelasnya, GST boleh jadi cukai yang progresif jika dikenakan kadar sifar kepada barangan yang digunakan golongan B40.
Bagaimanapun, kerajaan masih lagi mengkaji dan menilai kesesuaian waktu sekiranya ia akan dilaksanakan, namun beliau memberi jaminan ia tidak akan dilaksanakan pada tahun ini.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan semula cukai tersebut memandangkan cabaran ekonomi dijangka dihadapi pada tahun ini iaitu kadar inflasi makanan yang agak tinggi serta kadar pertumbuhan ekonomi yang sederhana.