comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan belum berhasrat laksana semula GST – Timbalan Menteri Kewangan

Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjung, Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menyatakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mampu memberikan kesan fiskal yang lebih cepat berbanding pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, perkara itu ditambah dengan laluan diberikan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi pada tahun ini.

Menurutnya, disebabkan itu, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan semula GST.

“Pelaksanaan GST akan dipertimbang apabila terdapat persekitaran ekonomi yang bersesuaian, terutama mengambil kira aspek kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi.

“Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenal percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan, sebelum menilai keperluan untuk memperkenal cukai kepenggunaan baharu seperti GST,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) sama ada kerajaan berhasrat untuk memperkenal semula GST.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan seperti pelaksanaan semula GST akan diteliti.

“Ia untuk memastikan bersifat progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta pada masa yang sama dapat menjana hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi tahun 2023, kutipan cukai menyumbang kira-kira RM229 bilion atau 72.8 peratus daripada hasil kerajaan sebanyak RM315 bilion.

“Pemberian subsidi, insentif dan bantuan kerajaan pula sekitar RM80 bilion atau 19.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM406 bilion.

“Ini jelas menunjukkan kedua-dua komponen ini mempunyai hubung kait yang signifikan dengan kedudukan fiskal negara.

“Oleh yang demikian, adalah wajar perubahan dasar fiskal Malaysia memberi tumpuan kepada kedua-dua ini terlebih dahulu bagi mengambil peluang akan kedudukan fiskal negara yang stabil pada masa ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini