KEPALA BATAS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak, cubaan mencetuskan permusuhan kaum oleh pihak yang ketandusan nilai dan dangkal ilmu.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menilai dengan sebaiknya sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan, agar tidak wujud permusuhan kaum di negara ini.
Menurut Anwar, pembangkang sering menuduh beliau mengkhianati agama islam dan orang melayu dalam tempoh lapan bulan memegang tampuk pemerintahan negara.
Namun apabila beliau menyoal berkenaan tuduhan itu di Parlimen, tiada pihak tampil membuktikan dakwaan berkenaan.
Anwar berkata, tidak benar jika diandaikan sokongan kepada Ahli Parlimen Batu Kawan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai satu pengkhianatan.
“Saya tak khianat, saya terima kenyataan dan geopolitik, saya mahu negara ini aman, semua negeri lain Melayu dan Islam yang pegang, semua jawatan utama Agung, PM, MOF, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Gabenor Bank semua melayu islam
“Selamatkan negara ini, jangan izinkan ada permusuhan kaum yang menyebabkan kita kembali runtuh kerana nilai kita dan kedangkalan ilmu” katanya ketika berucap di Seminar Malaysia Madani peringkat negeri Pulau Pinang di Bertam, Kepala Batas
petang tadi.
Tambahnya, kekuatan dan keindahan agama Islam terletak pada konsep kesederhanaan yang meliputi layanan seimbang dan bukannya bersifat ekstremis yang menekankan permusuhan.