comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan bantu 131 anggota, veteran ATM terkesan banjir di Kelantan, Terengganu

Adly (kiri) melihat aset ATM digunakan untuk operasi dan membantu mangsa banjir pada lawatan di Padang Kawad, Markas 8 Briged, Kem Pangkalan Chepa, hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Kementerian Pertahanan akan membantu 131 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata jumlah itu membabitkan 49 anggota Briged Kelapan Infantri Malaysia, selain 47 veteran di Kelantan dan 35 veteran di Terengganu.

Beliau berkata, bagi veteran ATM yang terjejas banjir di kedua-dua negeri berkenaan, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan memberi bantuan termasuk pembaikan rumah dan keperluan selepas bencana.

“Sekiranya ada rumah yang terjejas banjir mengalami kerosakan, pihak kami akan membuat penilaian untuk pembaikan bagi membantu meringankan beban mereka.

“Ini bukti Kementerian Pertahanan memberi perhatian dan menjaga kebajikan anggota serta veteran,” katanya selepas Lawatan Pasca Banjir Peringkat Kelantan di Padang Kawad, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jen Muzamil Ali.

Adly berkata, pada peringkat awal persediaan banjir, kementerian menetapkan hampir 18,000 anggota bertugas di seluruh negara.

“Untuk banjir di Johor, kita melihat keperluan dari semasa ke semasa berdasarkan kawasan terbabit bencana itu untuk menempatkan anggota,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada tahun lalu, JHEV ATM memperuntukkan RM62,570,474.35 bagi bantuan kebajikan dan seramai 33,042 veteran ATM menerima manfaat daripadanya.

“Terdapat lima skim iaitu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam.

“Program bantuan kewangan ini diberikan bagi menjaga kebajikan veteran ATM dan tanggungan mereka yang berkelayakan supaya dapat memperbaiki dan menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Katanya, selain itu, Program Peduli Veteran di seluruh negara akan diteruskan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 800 program dilaksanakan setiap tahun.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini