comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan bakal perkenal Pakej Rahmah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan Pakej Rahmah, yang menawarkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding pasaran, tidak lama lagi.

Inisiatif yang membabitkan 10 hingga 12 barangan keperluan asas itu bakal dilaksanakan dengan kerjasama pasar raya besar di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata Pakej Rahmah adalah satu lagi inisiatif khusus bagi rakyat termiskin, yang digerakkan melalui libat urus dengan pasar raya besar di negara ini.

“Harga barangan ini bakal ditetapkan nanti…yang pasti, lebih ia murah daripada harga biasa,” katanya.

Semalam, Salahuddin memaklumkan pelaksanaan inisiatif Rahmah akan diperluas kepada empat fokus baharu iaitu Pakej Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah.

Ia adalah pelan jangka pendek diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu menyelesaikan isu kos sara hidup dalam kalangan rakyat, khususnya membabitkan mahasiswa, kumpulan B40 dan miskin tegar.

Ditanya kaedah akan digunakan bagi mengenal pasti golongan B40 yang bakal menerima manfaat Pakej Rahmah, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, semua data terkini akan diperoleh menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita akan dapatkan data daripada JKM, selain sistem pangkalan data eKasih. Jadi, pihak kami akan mengemas kini data terkini bagi mendapatkan perincian lanjut (bagi menentukan kelayakan),” katanya.

Selain itu, Salahuddin berkata, Jualan Rahmah akan terus diperluaskan ke lebih banyak pasar raya di seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini, pasar raya Econsave menjadi perintis kepada inisiatif yang diperkenalkan sejak bulan lalu dan disasarkan kepada semua lapisan masyarakat.

“Econsave melalui 91 rangkaiannya di seluruh negara menurunkan harga 1,000 barangan, sekitar tiga peratus hingga 70 peratus. Minggu depan, saya akan lancarkan Jualan Rahmah di Aeon Big pula.

“Pihak pasar raya akan memperkenalkan konsep ‘hari-hari harga bagus’, maknanya akan ada barangan yang dijual lebih murah daripada harga pasaran. Selepas itu, saya akan pergi pula ke NSK, Giant dan pasar raya lain,” katanya.

Menyentuh mengenai Kafe Rahmah, yang khusus untuk membantu kos makanan membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi, beliau berkata, perbincangan lanjut mengenainya sedang giat dijalankan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Kafe Rahmah dijangka akan diperkenalkan selepas raya. Saya saya akan berjumpa Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) untuk membincangkan perkara itu. Ia dijangka bermula dengan 20 institusi pengajian awam (IPTA) di Lembah Klang dahulu.

“Mengikut perancangan, mahasiswa akan diberikan makan tengah hari secara percuma, selain kemungkinan 50 peratus diskaun bagi menu sarapan pagi dan makan malam,” katanya.

Bagi inisiatif Bakul Rahmah pula, Salahuddin berkata, KPDN menyasarkan untuk mengagihkan sumbangan berupa barangan makanan keperluan asas seperti beras, minyak dan gula kepada golongan yang memerlukan, menjelang Mac ini.

“Bagi fasa pertama Bakul Rahmah, kami menjangkakan seramai 10,000 hingga 15,000 golongan rakyat termiskin di negara ini akan menerima bantuan berkenaan.

“Ia (berkemungkinan) bermula menjelang Ramadan nanti,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini