Tumpuan :
Nasional

Kerajaan bakal mengadakan sambutan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan pada Mei

FOTO: Kementerian Perpaduan Negara

Oleh Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan bakal menganjurkan Minggu Perpaduan di peringkat kebangsaan bagi memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu bakal dianjurkan secara besar-besaran pada penghujung bulan Mei depan.

“Program ini akan dijadikan acara tahunan dan harapan saya ia akan menjadi salah satu program yang tersenarai dalam kalender pelancongan negara.”

FOTO: Kementerian Perpaduan Negara

“Sambutan Minggu Perpaduan Negara adalah berlandaskan tema ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’, yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ekspresi kasih, persahabatan dan persaudaraan yang akan memperkukuhkan semangat kekeluargaan.” Katanya dalam ucapan Majlis Amanat 2023 Menteri Perpaduan Bersama Warga Kementerian, di sini.

Selain itu, inisiatif itu dijangka turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan lain termasuk masyarakat majmuk.

Kata Datuk Aaron Ago, ia antara lain bagi menyemarakkan semangat masyarakat madani, seperti yang diinspirasikan oleh Kerajaan Perpaduan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program yang dijadualkan berlangsung selama 7 hari itu bakal dimulakan di Sarawak dan disusuli dengan negeri lain.

Kementerian Perpaduan pada tahun turut memberikan fokus yang berpaksikan kepada tiga teras utama Dasar Perpaduan Negara iaitu:

i. Patriostisme dan Demokrasi;
ii. Identiti Nasional; dan
iii. Ekosistem Perpaduan.

Datuk Aaron Ago turut menyatakan bahawa Kementeriannya akan memperkasa penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara bagi membina perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.

Loading...
Terkini