comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan akan terus laksana dasar, inisiatif bertepatan realiti semasa – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Gabungan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti semasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menyuarakan komitmen itu biarpun berdepan kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi PH juga mengakui komited melaksanakan anjakan baharu negara yang sedang berjalan dengan dasar dan komitmen yang jitu.

“Gabungan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon PH pada PRK DUN Sungai Bakap yang berlangsung dengan lancar dan aman.

“Selaku Perdana Menteri, saya dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat DUN Sungai Bakap yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan MADANI.

“Kerajaan MADANI menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Tambun mengulas kekalahan PH pada PRK DUN Sungai Bakap itu menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook pagi ini.

Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penguasaan di DUN Sungai Bakap apabila calonnya, Abidin Ismail, 56 menang kerusi berkenaan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada PH, Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Naib Yang Dipertua PAS, Nibong Tebal yang mesra dengan panggilan Abang Bidin menang dengan majoriti 4,267 undi, membolehkan beliau meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Kemenangan Abidin itu sekali gus menyaksikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) gagal untuk merampas kembali DUN yang pernah dimenangi PKR selama tiga penggal bermula 2008.

Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis, mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.

Sebanyak sembilan pusat pengundian membabitkan 65 tempat mengundi atau saluran dibuka sejak jam 8 pagi semalam.

Peratusan keluar mengundi dicatatkan hingga pusat pengundian ditutup jam 6 petang semalam, merekodkan 63.45 peratus dan 208 kertas undi ditolak.

Mengikut komposisi kaum, pengundi Melayu terdiri daripada 59 peratus, diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan bangsa-bangsa lain satu peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini