Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Pendekatan lebih berkesan dan bersasar bagi membantu rakyat, susulan pengumuman kerajaan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan akan dibincangkan pada Mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihaknya bersedia untuk menerima pandangan pelbagai pihak.
“Kerajaan sedang meneliti, seperti yang disebut oleh Menteri Kerja Raya semalam, langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat, sama ada dari segi kos sara hidup mahupun dari segi kesesakan lalu lintas.
“Kedua-dua perkara ini penting. InsyaAllah, Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini bila sekembalinya Perdana Menteri dari lawatan luar negara.
“InsyaAllah, mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Jumaat, saya percaya akan membincangkan perkara ini dan kita tunggu hasil perbincangan di peringkat Jemaah Menteri.” Katanya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Tambahnya, pendekatan yang dinyatakan oleh Menteri Kerja Raya itu berdasarkan keputusan dasar yang telah dibuat sebelum ini.
“Apa yang diumumkan oleh Datuk Seri Alexander Nanta Linggi adalah berdasarkan keputusan dasar yang dibuat sebelum ini.
“Tetapi sudah pasti kerajaan akan menerima pandangan dari pelbagai pihak dan mengkaji langkah tepat untuk kita ambil ke depan.” Katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.