Tumpuan :
Nasional

Kerajaan akan perkenal Sistem Alamat Nasional, urus alamat lebih berstruktur

Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil.- Foto: NSTP

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Sistem Alamat Nasional (NAS) sebagai langkah strategik untuk menangani cabaran dalam pengurusan alamat yang tidak seragam, khususnya di kawasan luar bandar, kampung tradisional, dan kawasan bandar yang padat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ketiadaan sumber alamat berautoriti yang diiktiraf kerajaan sebagai rujukan utama telah menyebabkan pelbagai agensi mengurus data alamat secara berasingan.

Keadaan itu, katanya, bukan sahaja mengurangkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam tetapi turut menjejaskan usaha menyokong ekonomi digital negara.

“Kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM700 juta setahun untuk mendapatkan perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara. Ini bukan sahaja menyebabkan ketirisan pendapatan negara, malah meningkatkan risiko terhadap pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara (NCII),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata NAS adalah jawapan kepada keperluan sistem pengurusan alamat yang bersepadu bagi memperkasakan ekonomi digital negara, termasuk sektor seperti e-dagang, logistik, dan pembangunan bandar pintar.

“NAS akan menghapuskan kaedah lama mengenal pasti alamat, seperti bergantung kepada warna bumbung rumah atau nombor tiang elektrik. Ini adalah langkah penting dalam melindungi kedaulatan data geospatial negara serta mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar,” jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa kajian pelaksanaan NAS kini giat dijalankan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“NAS akan menjadi sumber alamat tunggal yang diiktiraf kerajaan, mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara. Ia juga dijangka menjadi asas kepada transformasi perkhidmatan awam, pengukuhan ekonomi digital, dan peningkatan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Selain itu, kerjasama strategik antara MCMC dan agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) turut dijalin bagi memastikan kejayaan pelaksanaan NAS.

Fahmi berkata sektor seperti kurier, logistik, dan pertahanan dijangka meraih manfaat besar daripada inisiatif ini, termasuk dalam meningkatkan kecekapan penghantaran logistik, tindak balas kecemasan, dan penyampaian perkhidmatan awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini