comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan akan pastikan projek tebatan banjir di Kelantan siap seperti dirancang – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyaksikan majlis menandatangani dokumen antara Pengarah Jurutera Awam Penguasa Kanan Jabatan Kerja Raya (JRK) Kelantan Ir Zakaria Semail (kanan) kepada Timbalan Setiausaha bahagian kanan, Bahagian Pembangunan Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM) Mohd Rashidi Yahaya (dua,kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di sini hari ini. – FOTO: Fadillah Yusof / Facebook

BACHOK: Kerajaan akan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah projek tebatan banjir di Kelantan dan memastikan ia siap mengikut masa yang ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Persekutuan akan memastikan projek berkenaan disiapkan sebagaimana yang dirancang.

“Kini menjelang musim tengkujuh dan Kelantan sering berdepan masalah banjir. Kelantan menjadi salah satu fokus dan projek tebatan banjir kini ada masalah.

“Saya akan turun sekali lagi ke Kelantan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kita dapat menyiapkan mengikut sebagaimana yang dirancang.

“Cuma sekarang ini kita mahu menyelesaikan masalah kontraktor,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan projek tebatan banjir dan loji bekalan air bersih di Kelantan perlu disegerakan.

Perdana Menteri berkata, projek itu perlu dilakukan demi kepentingan rakyat negeri meskipun kedua-dua projek membabitkan kos yang agak tinggi.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, satu lagi projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) Fasa 2B akan bermula November ini.

Projek itu tertangguh selepas kontraktor yang sebelum ini dilantik tidak mampu menyiapkan projek yang kemudiannya ditamatkan perkhidmatannya.

KBKK bagi Pakej 2B membabitkan projek sejauh 6.2 kilometer dari Ketereh ke Kok Lanas dijangka siap sepenuhnya 2026.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini