KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan agenda dan perancangan ditetapkan melalui Jawatankuasa Khas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang ditubuhkan rentas kementerian disambut baik industri, selain berkesan meningkatkan penguasaan pelajar dalam bidang berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata keutamaan terhadap dua perkara itu menjadi asas kepada jawatankuasa yang ditubuhkan secara rentas kementerian.
“Fungsi dan komitmen besar jawatankuasa ini bagi memastikan agenda dan perancangan yang dibuat melaluinya disambut baik pihak industri dan dapat meningkatkan penguasaan pelajar terhadap bidang berkenaan.
“Perkara ini menjadi keutamaan jawatankuasa di samping terus melihat bagaimana ia boleh terus berkembang dengan baik dalam masa sama menjadi hala tuju negara,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam yang mengakui minat pelajar negara ini dalam bidang STEM semakin merosot dan membimbangkan.
Perdana Menteri menjelaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil beberapa langkah termasuk dengan beberapa kumpulan pendidikan lain bagi menggesa ibu bapa memberikan tumpuan semula kepada Sains dan Matematik.
Fadhlina berkata, dalam konteks itu KPM sudah memulakan komitmen besar transformasi pendidikan negara melalui usaha mewujudkan jawatankuasa khas STEM.
Katanya, jawatankuasa itu berperanan menumpukan perhatian penuh kepada keseluruhan ekosistem STEM negara yang merangkumi soal minat, infrastruktur serta dasar berkaitan pembangunan bidang itu dalam negara.
“Dalam hal ini, KPM tidak bersendirian kerana ia satu komitmen rentas kementerian termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang sudah beberapa kali bersidang bersama untuk menetapkan beberapa perkara rapat berkaitan STEM.
“KPM menyambut baik semua cadangan dan usaha itu sedang giat dijalankan… ketika ini nampak ada peningkatan terhadap minat dalam kalangan anak-anak kita di seluruh negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.