KOTA BHARU: Kerajaan akan membantu pesawah yang mengalami kerugian susulan musim kemarau berpanjangan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya akan melihat bantuan bersesuaian selepas menerima permohonan yang dibuat.
Pada masa sama katanya, pihaknya turut meluluskan pembelian 20 pam air bagi menangani masalah yang dihadapi pesawah akibat kemarau.
“Dalam mesyuarat taklimat pembangunan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi, kita meluluskan pembelian 20 pam air baru untuk kegunaan di Kelantan.”
“Kelulusan pembeliam pam dibuat berdasarkan keperluan semasa. Keadaan kali ini agak teruk memandangkan cuaca panas berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik sebagai berkata fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan sehingga Julai.
Menurut Nik Nazmi terdapat juga ramalam mengatakan tahun ini adalah tahun paling panas selepas 1998.
Katanya, beberapa negeri iaitu Kelantan, Perlis dan Kedah mengalami cuaca yang lebih panas berbanding Kuala Lumpur dan negeri lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.