Tumpuan :
Nasional

Kerajaan akan bangunkan semula sawah terbiar bagi penanaman padi

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Deda

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menumpukan usaha membangunkan semula tanah sawah yang terbiar bagi penanaman padi sekali gus meningkatkan Tahap Sara Diri Beras Negara (SSR).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beberapa negeri yang dikenal pasti mempunyai kawasan sawah terbiar antaranya Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Kita harap dengan mengusahakan kembali sawah terbiar usaha ini akan meningkatkan SSR yang ketika ini hanya pada 56.2 peratus yang mana lebih 40 peratus beras masih perlu diimport dapat dipertingkatkan dalam masa lima ke 10 tahun akan datang.

“Kawasan sawah itu akan dimajukan dengan sokongan kerajaan dan kerajaan negeri sama ada secara syarikat atau dalam bentuk berkelompok.” katanya pada Majlis Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KPA) 2024 di ibu negara.

Tambahnya, penghijrahan generasi muda ke bandar dan tidak mahu mewarisi pekerjaan turun-temurun, selain perubahan iklim yang tidak menentu serta lebih 20,000 hektar tanah sawah dibangunkan sebagai kawasan perumahan menjadi antara faktor yang mendorong sawah terbiar.

“Antara yang membantu untuk dibesarkan adalah pembukaan sawah di Sarawak yang kerajaan negeri bukan sahaja mengumumkan jumlah keluasan lebih kurang 10,000 hektar tetapi dengan peruntukan awal tahun depan RM500 juga.

“Kita harap dengan usaha ini, SSR kita akan meningkat pada tahun-tahun yang akan datang.” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad sekali lagi menegaskan pihaknya tidak akan masuk campur dalam urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Sebaliknya akan memberikan kerjasama yang penuh dan pertolongan yang diperlukan agensi itu.

“Saya harap semua tidak perlu bimbang dengan operasi NAFAS pada waktu penggantungan ini kerana ianya akan diuruskan oleh barisan pentadbir yang mahir dalam tugasan mereka.

“Justeru, saya menggesa semua supaya sama-sama memastikan NAFAS bersih daripada penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa.” tegasnya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi bernilai RM1.8 bilion di sebuah pertubuhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini