TANAH MERAH: Kementerian Pertahanan memaklumkan segala tindakan dan keputusan yang akan diambil termasuk pemindahan anggota dari Lubnan perlu mengambil kira semua negara yang terbabit dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya akan bertindak sekiranya terdapat keperluan diputuskan PBB.
Bagaimanapun katanya, susulan insiden yang berlaku, pihaknya yakin anggota yang bertugas di Lubnan dalam keadaan selamat dan proses transisi pertukaran daripada MALBATT 850-11 kepada MALBATT 850-12 akan dilakukan sebagaimana biasa.
“Kita akan sentiasa berkomunikasi dengan anggota di sana secara harian supaya maklumat dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Kesemua mereka yang cedera kini sedang menerima rawatan dan akan kembali bertugas sebaik sembuh.
“Buat masa ini, kita pastikan semua anggota selamat di kediaman di Lubnan. Kita tahu walaupun hanya berlaku kecederaan kecil, namun aspek keselamatan pada masa akan datang itu adalah penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Veteran Desa Madani Peringkat Tanah Merah, di sini, hari ini.
Menurut Adly, pihak kementerian mengambil segala langkah keselamatan bagi memastikan aspek keselamatan anggota sentiasa terpelihara.
“Kita bertugas di bawah UNIFIL dan segala tindakan mengikut pelan keselamatan yang disediakan UNIFIL.
“Pada masa sama, kita hadkan operasi dan yang penting memastikan tempat perlindungan anggota kita berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Adly turut yakin emosi anggota yang bertugas tidak terjejas kerana mereka sudah dilatih dan sedar mengenai cabaran yang harus ditempuhi di kawasan peperangan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini mengesahkan enam anggota MALBATT 850 cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah, jam 1.54 tengah hari kelmarin (7.54 malam waktu Malaysia).
Dalam kejadian itu, lima anggota membabitkan MALBATT 850-12 yang baru tiba ke negara itu mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki retak tangan kiri) dan seorang lagi anggota MALBATT 850-11.
Menurut kenyataan dikeluarkan ATM, letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.